Wednesday 24 August 2011

MAKDE - 1

Mukaddimah

HARI INI...genap setahun Hijrah, Makde meninggalkan kami buat selama-lamanya. Makde menghembuskan nafasnya yang terakhir lebih kurang jam 3.00 pagi 25 Ramadhan 1431H di rumahku, Lot 1409, Kg. Kolam Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Ku bahasakan panggilan Makde kerana ibuku memang lebih terkenal dengan panggilan 'Makde Pe'ah'.

Bersama-sama mengiringi pemergiannya ialah aku selaku anak lelaki tunggalnya yang memilih posisi di bahagian kepalanya untuk membaca doa dan membimbingnya mengucap dua kalimah syahadah. Isteriku selaku menantu perempuan tunggal bersama ibu mertuaku Wan Simik berada di kanan Makde. Kakakku selaku anak perempuan tunggal berada di sebelah kiri. Di hujung kaki Makde ialah dua orang cucu perempuannya, Supariah dan Mitiyah.

Anak-anakku Khairul, Iwan dan Adik yang berada di perantauan merayu kepadaku untuk dibenarkan pulang bagi melihat nenek mereka. Tapi, aku tidak benarkan mereka pulang kerana mereka sedang menghadapi peperiksaan ketika itu.

Tapi, aku agak hairan di atas sikap abang iparku yang masih tidur ketika Makde menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia terlepas untuk melihat bagaimana damai, tenang dan halusnya pemergian Makde.

Perginya ibuku Makde telah memberikan kesan yang agak mendalam ke atas diriku. Makde tinggal bersamaku sejak tahun 2006 apabila beliau diserang angin ahmar kali kedua. Akibatnya, beliau tidak boleh berdiri dan lemah sebelah kanan badan dari kaki sehingga tangan. Namun, Makde masih boleh bangun dari pembaringan dengan sendiri untuk duduk bersila dan bergerak secara mengisut perlahan-lahan. 

Kali pertama Makde diserang angin ahmar adalah pada tahun 2005 sekitar jam 3.30 pagi di rumahnya sendiri. Pada masa itu Makde tinggal bersama cucu perempuan sulungnya, Supa. Bahkan Supa ini tinggal bersama dengannya sejak lahir sehingga dewasa. Sejak kecil sehingga dewasa juga Supa tidur sekatil, setilam dan sekelambu dengan neneknya Makde.

Mengikut cerita Supa, Makde cuba bangun untuk rutin sembahyang Tahajjudnya setiap malam. Namun pada hari kejadian, dia gagal bangun dan mulutnya berbuih berserta tarikan dan hembusan nafas yang kuat. Mulutnya juga mengherot ke sebelah kanan.

Ketika aku sampai ke rumahnya jam 4.00 pagi, Makde sudah tidak sedarkan diri lagi. Aku juga melihat jiran-jiran yang terdiri dari sepupu sepapanya sudah hadir menziarah.

Dengan bantuan anak-anak sepupunya, Makde dapat dipindahkan dari atas katil ke ruang terbuka di tengah rumah. Di situ, Makde dibaringkan secara terlentang di atas tilam kekabu. Terlupa untuk diberitahu, Makde ialah seorang yang gemuk dengan ketinggian 5 kaki 2 inci semasa sihatnya. Berat badannya mencecah 90 kg dan mempunyai sejarah masalah tekanan darah tinggi sejak zaman mudanya lagi. Beliau pernah dimasukkan ke wad hospital besar di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan tekanan darah tinggi selama berminggu-minggu ketika usiaku 9 tahun.

Bersambung...














No comments:

Post a Comment